Powered By Blogger

Sabtu, 18 Januari 2014

Ulama Pilihan : Dato’ Ustaz Ismail Kamus



Dato’ Ustaz Ismail Kamus (lahir 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu Selangor) merupakan seorang ustaz, pendakwah dan pakar perubatan Islam.
Pendidikan
Dato’ Ismail Kamus mendapat pendidikan awal di Sek. Arab Batang Kali selama enam tahun sebelum ke Maahad Hisyamuddin, Kelang. Disana beliau sempat berguru dengan seorang ulama yang tersohor al-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhari. Selepas menamatkan pengajian di sana, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beliau memdapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada tahun 1976.
Kerjaya
Dato’ Ismail Kamus pernah menimba pengalaman sebagai guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selain bertugas selama 15 tahun di Jabatan Islam Wilayah Persekutuan(JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai pakar rujuk Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Beliau juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan N17 Gombak Setia atas tiket PAS. Di dalam parti, beliau pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Kini beliau berkhidmat sebagai perunding motivasi dan pendakwah bebas.
Perubatan Islam
Selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan menubuhkan syarikat perkhidmatan umrah dan haji, Datuk Ismail Kamus menumpukan sepenuh masa kepada rawatan Islam. Ustaz Ismail Kamus mempelajari perubatan Islam daripada Prof. Datuk Dr. Haron Din sekitar tahun 1979 dan mula mengubat pada tahun 1986.
Dato’ Ismail Kamus adalah pengasas dan pakar pengamal perubatan Islam di Darussalam. Beliau juga sebagai penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2003.
Media
Ustaz Ismail Kamus juga sering kali keluar di stesen TV di rancangan Forum Perdana Hal Ehwal Islam. Selain itu beliau juga tampil di rancangan-rancangan TV terpilih seperti di TV3 dan Astro Oasis. Perkembangan beliau juga boleh diikuti di laman sosial Facebook dan Blog keloaan peminat beliau. Ceramah beliau juga terdapat di dalam bentuk CD, VCD, Mp3 dan menerusi laman youtube.
Buku
Ustaz Ismail Kamus juga menulis beberapa buku ilmiah seperti berikut:
  • Indahnya Hidup Bersyariat (dan Edisi Kemaskini)
  • Indahnya Amalan Doa
  • JIN - Hakikat dan Pengubatan
  • Wahai Tuhan Engkaulah Penyembuh
  • AL-QURAN - Penyembuh Penyakit dan Penangkal Musibah
Tokoh Maal Hijrah Selangor 2011
Pada 22 November 2011, beliau terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2011 Peringkat Negeri Selangor.Sumbangannya besar dalam menyebarkan syiar Islam .Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah mewakili kekandanya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan anugerah itu.Majlis diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan