Powered By Blogger

Isnin, 13 Januari 2014

Jangan sambut Maulidur Rasul seperti Abu Lahab



Firman Allah swt dalam Al-Quran (maksudnya): “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah Al-Ahzab: 21)

Alhamdulillah kerana Allah masih lagi memberi kita nafas yang cukup baik untuk kita meneruskan hidup di muka bumi Allah. Sangat banyak nikmat Allah sehingga kita tidak mampu untuk menghitung nikmat Allah apatah lagi membayar semula. Bertepatan dengan firman Allah swt (maksudnya): “..dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya..” (Surah Ibrahim: 34)

Hanya yang mampu untuk kita lakukan adalah dengan bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt. Bersyukur bagaimana? Dengan melakukan segala apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah swt. Bagi manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan Allah swt, maka Allah akan mengazab mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” (Surah Ibrahim: 7)

Hari ini kita telah menjejak ke dalam bulan Islam iaitu hari kelahiran Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Semestinya hari ini merupakan antara hari yang sangat istimewa buat seluruh umat Islam terutama yang mencintai diri Rasulullah itu.

Tetapi apa yang menjadi persoalan dalam benak pemikiran saya adalah, benarkah umat Islam Islam benar-benar mencintai Rasulullah  s.a.w.? Kalau benar mereka mencintai Rasulullah, kenapa masih ada yang menyambut Maulidur Rasul dalam keadaan mereka tidak menepati ciri-ciri aurat yang ditentukan oleh Islam? Kenapa yang menyambut Maulidur Rasul yang dikatakan mencintai Rasulullah s.a.w. tetapi masih lagi tidak menjalankan hukum-hukum Allah?

Saya boleh simpulkan bahawa hari ini ramai kalangan umat Islam yang menyambut Maulidur Rasul bukan datang dari perasaan kasih sayang yang sangat mencintai Rasulullah akan tetapi mereka hanya menyambut sekadar adat sahaja. Orang lain buat, kenapa tidak untuk aku membuatnya?

Apabila tiba hari kelahiran Nabi s.a.w, umat Islam bertungkus lumus membuat bermacam-macam program untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah saw. Ini usaha yang sangat baik tetapi sama seperti program-program yang birthday party yang dianjurkan oleh manusia lain.

Saya berkata begini kerana, yang menyambut Maulidur Rasul ada kalangan manusia yang buka aurat, tutup aurat pun masih lagi tidak menepati ciri-ciri yang digariskan untuk Islam, pemimpin Islam tetapi masih lagi menolak hukum Allah dan masih tidak melaksanakan.

Adakah tindakan ini seakan-akan menyamai Abu Lahab, bapa saudara Nabi s.a.w. yang pada mula kelahiran Nabi s.a.w., dialah antara orang yang paling gembira dengan menyembelih beratus-ratus ekor unta? Dengan erti kata lain Abu Jahal menyambut Maulidur Rasul (kelahiran) pada ketika itu.

Abu Lahab sangat mencintai Nabi s.a.w. tetapi apabila Nabi s.a.w. mula menyampaikan risalah Islam, Abu Lahab mula membenci Nabi s.a.w. Sedangkan dahulunya dialah antara orang yang paling gembira menyambut Maulidur Rasul.

Oleh itu, bagi saya ulang tahun kelahiran Nabi s.a.w. ini adalah untuk kita semakin kuat mengingati Rasulullah sebagai penyelamat umat. Bukan hanya sekadar berarak ketika Maulidur Rasul tetapi kita perlu menghayati peritnya perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan Islam.

Seterusnya kita melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah dan tinggalkan apa yang di larang. Rata-rata umat Islam hari ini juga suka menyambut Maulidur Rasul tetapi pada masa yang sama tidak menutup aurat, melanggar hukum-hukum Allah, menolak hukum Allah, tidak mengikut garis panduan Islam dan sebagainya maka samalah seperti perangai Abu Jahal.

Akhir kata muhasabah untuk diri saya dan seluruh umat Islam bahawa kita menyambut Maulidur Rasul dengan penuh menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan Islam dan sekaligus cuba untuk menjadi umat Islam yang lebih baik dengan tidak menjadikan sambutan Maulidur Rasul itu sebagai adat yang mesti dibuat. Salam Maulidur Rasul buat seluruh umat Islam.

Penulis ialah bekas Presiden PMIUPM. Artikel ini ditulis ketika beliau memimpin PMIUPM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan