Riwayat Hidup
Saidina Hamzah r.a. merupakan bapa
saudara kepada Rasulullah SAW, iaitu dari sebelah bapa Baginda. Beliau
Dilahirkan pada tahun 570 Masihi, di Kota Makkah al-Mukarramah. Beliau sangat
rapat dengan Rasulullah SAW sejak kecil. Hobi beliau adalah memanah dan memburu.
Beliau pernah memukul Abu Jahal yang menampar Rasulullah SAW. Beliau juga
digelar 'Asadullah' yang bermaksud 'Singa Allah" kerana
keberaniannya di medan perang. Juga digelar 'Sayyidus Syuhada' (penghulu
orang yang mati syahid) kerana mati dalam peperangan Uhud pada tahun ke 3
Hijrah dan dimakamkan berdekatan Bukit Uhud.
Sifat Peribadi
Beliau sangat menjaga tingkah lakunya
dan tidak pernah terbabit dengan adab jahiliah yang buruk seperti berjudi,
berzina & berpoya-poya.
Beliau juga adalah seorang yang gagah
berani. Beliau pernah menyahut cabaran melawan 2 orang tentera musyrikin dalam
perang Badar. Beliau banyak membunuh musuh dalam perang Uhud dan merupakan pemegang
panji-panji tentera Islam dalam beberapa peperangan. Beliau juga pernah
melindungi Rasulullah SAW dari ancaman pihak Quraisy.
Beliau adalah seorang yang cekal dan
pantas bertindak. Beliau pernah ditugaskan sebagai Ketua Peninjau pergerakan
musuh di antara Makkah dan Syam. Pernah dipilih oleh Rasulullah SAW sebagai panglima
perang dalam perang Badar. Beliau merupakan seorang yang bijak mengatur
strategi perang dan melancarkan serangan dengan tersusun ketika perang meletus
hingga memberikan kemenangan kepada pihak Muslimin.
Pengislaman
Suatu hari Abu Jahal telah menghina dan
mencerca Rasulullah SAW di Bukit Safa. Pada ketika itu, Saidina Hamzah sedang
berburu. Dalam perjalanannya pulang, beliau diberitahu tentang penghinaan itu
oleh 2 orang wanita. Saidina Hamzah sangat marah dan mencari Abu Jahal yang
sedang berbincang dengan pembesar Quraisy di Masjidil Haram. Beliau memukul
kepala Abu Jahal dengan busar panahnya hingga berlumuran darah. Kemudian beliau
berkata: "Sesiapa yang berani menghalang dan mencabar aku, silakan!
Telah jelas kepadaku bahawa Muhammad itu ialah Rasul Allah dan ajaran yang
dibawanya adalah benar. Demi Allah, aku ialah pengikut Muhammad. Kalau kamu
berani, halanglah aku." Inilah detik pengislaman Saidina Hamzah. Sikap
beliau ini didorong oleh perasaan kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW serta
kebenaran yang dibawa oleh Baginda. Pengislamannya ini menyebabkan umat Islam
semakin kuat dan dihormati. Oleh itu pemimpin Quraisy mulai gentar untuk terus
menindas umat Islam sesuka hati mereka.
Sumbangan Dan Pengorbanan
Antara sumbangan utama Saidina Hamzah
ialah melindungi Rasulullah SAW dari ancaman musuh serta penglibatan dan
peranannya di dalam semua peperangan yang melibatkan kaum Muslimin. Beliau juga
banyak berkorban untuk menegakkan agama Allah SWT. Selain itu, beliau juga
sentiasa mengambil berat tentang persaudaraan tanpa mengira pangkat atau
kedudukan. Saidina Hamzah juga banyak membantu perkembangan dakwah Islam hingga
dihormati oleh masyarakat luar.
Gugur Syahid
Beliau gugur sebagai syuhada semasa
Perang Uhud setelah ditikam curi dengan lembing oleh seorang hamba sahaya
bernama Wahsyi bin Harb yang dijanjikan pembebasan oleh pemiliknya, Jubair
bin Muth'im, sekiranya dapat membunuh Saidina Hamzah. Setelah dibunuh, hati
beliau telah dilapah oleh Hindun bt Utbah, isteri Abu Sufyan
kerana ingin membalas dendam di atas kematian bapanya, Utbah bin Rabi'ah.
Semoga rohnya dicucuri rahmat
olehNya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan