Powered By Blogger
Memaparkan catatan dengan label Pejuang Kemerdekaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pejuang Kemerdekaan. Papar semua catatan

Selasa, 10 Jun 2014

Mat Kilau

 PAHLAWAN terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan. Anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah.Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik.



Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman. Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah. Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.




        Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu. Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.




Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.



          Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu. Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.

Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja.

          Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.



       Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak.

          Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.

          Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam. Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.



  Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar. Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.




   Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh.




Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut.

Selasa, 31 Disember 2013

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir(1907–1974)

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir(1907–1974)

Saari Sungib | abuurwah@gmail.com |

Latar Belakang

Abu Bakar bin Mohd Said dilahirkan pada tahun 1907 di Gunung Semanggol. Al-Baqir yang bermakna "amat pintar" adalah gelaran yang diberikan oleh gurunya kerana kepintarannya dalam pelajaran sejak kecil lagi.


Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Beliau adalah daripada keturunan Jawa. Datuknya, Haji Abdul Jabar bin Abdul Rauf berhijrah dari Kendal, Jawa Tengah pada pertengahan abad ke-19. Pada mulanya datuknya menetap di Kelang. Kemudian berpindah ke Kuala Kurau, Perak dan akhirnya ke Gunung Semanggol.

Setiap tempat persinggahan datuk neneknya, mereka menjalankan kerja bercucuk-tanam, terutamanya bersawah padi.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di Pondok Da'irat Al-Ma'arif, Kepala Batas, Seberang Perai Utara.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut.

Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Sejak muda, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah bergiat cergas dalam perbagai persatuan separa-politik dan pertubuhan politik Melayu seperti:

· Persatuan Melayu Pulau Pinang

· Persatuan Melayu Perak

· Persatuan Sunligh Taiping

· Kelab Saadat Kuala Kangsar

· Kesatuan Melayu Muda (KMM)

· Angkatan Pemuda Insaf (API)

· Barisan Tani Se-Malaya (BATAS)

· Pembantu Indonesia Merdeka (PIM)

Penglibtannya dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pemimpin PKMM, Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak

Usaha Pembaharuan

Pada akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas pendidikan Islam bernama Kanzal Ma'arif. Berlainan dengan sistem menadah kitab yang diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan sistem perbincangan dan perbahasan bahan-bahan pengajian ilmu pengetahuan.

Tujuan diadakan pendekatan seperti ini adalah untuk melahirkan ahli-ahli dakwah dan mubaligh Islam yang bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Kelas-kelas ini diadakan setiap malam Selasa dan Jumaat setiap minggu. Mereka yang menduduki kelas-kelas ini adalah terdiri daripada mereka yang dipilih sahaja. Usaha ini menghasilkan kejayaan yang menggalakkan.

Pada peringkat ini juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di madrasah-madrasah yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum Muda, beliau lebih cenderung ke arah pendekatan pembaharuan.

Maahad Al-Ehya Al-Sharif

Pada tahun 1934, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama beberapa orang pemimpin tempatan telah menubuhkan Maahad Al-Ehya Al-Sharif di Gunung Semanggol.

Nama Al-Ehya Al-Sharif memberi erti "menghidupkan kemuliaan". Dengan menghidupkan kemulian agama inilah diharapkan akan tercetusnya masyarakat yang memuliakan dunia dan Akhirat di kalangan bangsa Melayu.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dilantik sebagai mudir Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Jawatan ini dipegangnya hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1974.

Usaha pembaharuan ini diteruskan pada tahun 1940 dengan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menubuhkan Persatuan El-Ehya Al-Sharif (Berhad). Persatuan ini berperanan sebagai badan yang mengurus dan melaksanakan hal-ehwal sekolah. Sebuah Lembaga Pengurus yang bertindak secara kolektif telah diwujudkan.

Meluaskan Pembaharuan

Kelahiran Al-Ehya pada tahun 1934 adalah seiring dengan matangnya fahaman Islah di kalangan umat Islam di Tanah Melayu. Pergerakan Islah atau Kaum Muda yang dipopularkan pada awal abad itu telah banyak mempengaruhi pelajar-pelajar madrasah.

Kemahuan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk mendirikan Al-Ehya bertambah kuat apabila masih kurang madrasah yang menekankan pendidikan dunia dan Akhirat di Kawasan Kerian, Perak. Untuk tujuan tersebut, beliau melepaskan jawatannya di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendirikan Al-Ehya di Gunung Semanggul kerana berpandangan tidak sesuai baginya untuk memajukan bangsa jika terikat dengan iklim istana. Lagipun, para ulamak di Idrisiah amat condong kepada kemahuan status quo golongan tradisional aristokrat diraja.

Dalam perkembangan inilah Al-Ehya menerima guru-guru dari Timur Tengah dan Indonesia yang berfahaman Islah dan Reformasi Islam sebagai tenaga pendidiknya.

Guru-gurui dari Indonesia ini terdiri daripada aktivis pergerakan Muhammadiah yang terkenal sebagai Kuam Muda di Indonesia.

Sejak itu, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjadikan Maahad El-Ehya Al-Sharif sebagai pusat gerakan sosiopolitik, sosioekonomi dan kegiatan politik berparti berdasarkan Islam dari tahun 1934 hingga Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.

Pembaharuan melalui Ekonomi

Pada tahun 1947, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mempengerusiakn satu jawatankuasa perhimpunan besar yang dinamakan Persidangan Ekonomi-Agama se Malaya. Persidangan ini diadakan di Maahad Al-Ehya Al-Sharif.

Tujuan persidangan tersebut dinyatakan sebagai untuk "berusaha meluaskan penyiaran agama dan berusaha mempertinggikan ekonomi bangsa dan negara yang sudah hampir lenyap ke tangan asing".

Persidangan tersebut dihadiri oleh 2,000 orang alim ulamak dan cerdik pandai dari seluruh Tanah Melayu yang berkelulusan dari sekolah-sekolah tinggi Mesir, Arab Saudi, India dan Indonesia. Wakil-wakil dari Singapura juga turut hadir.

Persidangan tersebut berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu seMalaya atau ringkasnya PEPERMAS. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih sebagai Yang Di Pertua (YDP) bagi PEPERMAS.

Sejurus penubuhannya, PEPERMAS telah menyusun kerja-kerja ekonomi, melantik badan-badan ekonomi serta menggariskan kerja-kerja derma pelajaran bagi pelajar-pelajar di madrasah-madrasah seluruh Tanah Melayu.

Pembaharuan dalam Pentadbiran Agama

Majlis Agama Tinggi atau MATA juga ditubuhkan pada tahun 1947, iaitu sehari selepas PEPERMAS. MATA juga ditubuhkan di Al-Ehya Al-Sharif, Gunung Semanggol.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan.

MATA ditubuhkan dengan tujuan untuk membetulkan pengurusan dan pentadbiran hal-ehwal agama Islam yang ditadbir oleh ulamak tradisional dan raja Melayu.

MATA adalah satu tamparan yang hebat kepada golongan yang bekerja dalam pertubuhan ulamak negeri dan pejabat agama negeri-negeri. Ini kerana MATA bertujuan menjadi badan agung untuk mengelolakan soal agama. MATA juga secara langsung berhasrat menggantikan badan-badan agama yang telah wujud di setiap negeri.

Pembaharuan melalui Pendidikan

Pada tahun 1947 juga, sebuah badan yang dinamakan LEPIR atau Lembaga Pendidikan Rakyat telah ditubuhkan. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi pengerusi LEPIR.

LEPIR adalah hasil usaha daripada Jawatankuasa badan Kebajikan Pelajaran MATA yang telah mengadakan pemerhatian di seruh Tanah Melayu dan Singapura perihal kurangnya umat Melayu-Islam dalam bidang pendidikan.

Melalui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah diberi tanggungjawab untuk memajukan sekolah agama di seluruh Tanah Melayu.

Melalui LEPIR juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah menggabungkan semua sekolah rakyat di Tanah Melayu, melahirkan satu sistem persekolahan serta membentuk satu sukatan pelajaran yang seragam bagi semua sekolah rakyat.

LEPIR di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah mengusahakan penerbitan buku pelajaran agama dan bahasa Arab bagi seluruh Tanah Melayu.

Dengan menerajui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjuruskan usaha ke arah penubuhan sebuah universiti Islam dengan menubuhkan sebuah tabung mengumpul dana daripada rakyat.

Jumaat, 9 September 2011

Pejuang Kemerdekaan : Ahmad Boestamam (1920-1938)

Mari Kenal Pejuang Kemerdekaan: Ahmad Boestamam (1920-1983)

12-26-20067-35-51pm_0002.jpg

Gambar dari blog Rustam Sani

Ahmad Boestamam adalah nama yang tak asing di Malaysia. Nama sebenar beliau ialah Abdullah Sani Raja Kechil. Nama beliau tak dapat lari daripada dikaitkan dengan gerakan kemerdekaan Tanah Melayu. Buku-buku sejarah yang digunakan di sekolah-sekolah di Malaysia tak begitu banyak menceritakan tentang Ahmad Boestamam. Seharusnya tokoh yang sebegini besar sumbangan dan pengorbanan terhadap usaha untuk memerdekan negara harus ada satu muzium atau tugu untuk memperingati beliau.

Tapi di Malaysia begitulah, oleh kerana UMNO dan Barisan Nasional mahu memonopoli sejarah kemerdekaan negara, pejuang-pejuang yang tak sehaluan dengan mereka dipinggirkan. Tambahan lagi dengan “momok” anti komunis yang berjaya mempengaruhi sebahagian besar rakyat Malaysia. Ini lebih memudahkan bagi mereka (baca: kerajaan Barisan Nasional) untuk menguasai sejarah kemerdekaan negara.

Tahun ini ialah ulang tahun ke 50 Malaya merdeka (Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963). Jadi rasanya eloklah sedikit sebanyak diperkenalkan kembali pejuang-pejuang awal yang membangunkan gerakan kemerdekaan di Tanah Melayu kepada generasi muda di Malaysia.