Saidina Umar al-Khattab ( عمر بن الخطاب) (c. 581 - November-644, kadang-kadang
dipanggil juga sebagai Umar al-Farooq ataupun Omar atau Umar
ialah daripada Bani Adi iaitu salah satu golongan Bani Adi Quraisy. Beliau menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644 Masihi) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah seorang Khulafa ar Rasyidin
Kehidupan awal
Saidina Umar dilahirkan di Makkah. Bapanya
bernama Khattab bin Naufal bin Abdul Uzza. Beliau dikatakan terdiri daripada
golongan kelas pertengahan. Sewaktu kecilnya beliau pernah mengembala kambing
dan pada zaman dewasanya beliau berniaga dengan berulang-alik ke Syam membawa barang
dagangan. Beliau juga berilmu, perkara yang amat jarang berlaku pada masa
tersebut, dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal
kerana kegagahannya.
Ringkasan
Saidina Umar bin al-Khattab telah
mendapat hidayat Islam pada tahun ke-6 kenabian ketika berumur 27 tahun. Beliau
memeluk Islam setelah mendengar adik perempuannya membaca ayat-ayat al-Quran
. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani bahawa Rasulullah s.a.w
juga pernah berdoa: Ya Allah , kuatkanlah Islam dengan Umar. Sebuah
hadis daripada Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda : Apabila Umar memeluk Islam, Jibrail pun datang dan
berkata : Ya Muhammad , sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira
dengan Islamnya Umar
Memeluk Islam
Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara
terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy.
Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.
Menurut ahli sejarah Islam, semasa
Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung
dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik
perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.
Saidina Umar pergi ke rumah adiknya
dan mendapati adiknya sedang membaca al-Quran dari Surah Taha.
Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat
adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca
secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar
ayat-ayat al-Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari
itu juga.Selepas peristiwa terbabit, beliau
berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.
Saidina Umar di Madinah
Saidina umar merupakan antara
individu yang berhijrah
ke Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah).
Dia merupakan salah seorang daripada Sahabat Rasulullah s.a.w..
Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada
tahun 632 Masihi. Saidina Umar dikatakan amat sedih dengan kewafatan Rasulullah
s.a.w. sehinggakan beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan
bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Beliau kemudiannya kembali tenang selepas
Saidina Abu Bakar (khalifah pertama umat Islam)
berucap "Sesiapa yang menyembah Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah
wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah s.w.t.,
ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati." Saidina Abu Bakar
kemudiannya membaca beberapa potong ayat Al Quran
untuk mententeramkan umat Islam.
Saidina Abu
Bakar dengan sokongan Saidina Umar menjadi khalifah pertama umat Islam. Semasa pemerintahan
singkat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar merupakan penasihat Saidina Abu Bakar.
Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya
pada tahun 634
M. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.
Pemerintahan Saidina Umar
Semasa pemerintah Saidina Umar,
empayar Islam berkembang dengan pesat; orang Islam menawan Mesopotamia
dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi
(berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin,
Syria,
Afrika Utara,
dan Armenia
daripada Byzantine (Rom Timur). Ada di antara
pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk
yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera
Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan
Byzantine di selatan Asia Kecil.
Pada tahun 637 M, selepas
pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam
berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Sophronius menyerahkan kunci kota itu
kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di dalam
gereja besar Kristian
iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar
menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak beberapa jauh daripada gereja
tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat
keagamaan Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar
dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat.
Saidina Umar banyak melakukan
reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran
baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang
berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina. Saidina Umar juga amat dikenali
kerana kehidupannya yang sederhana.
Pemerintahan Saidina Umar
Pembaharuan Dalam Bidang Pentadbiran
Membentuk Majlis Syura
Khalifah Umar telah membentuk satu
Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya
terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah
terdiri daripada Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul
Rahman b. Auf, Saad b. Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang
melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan
bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab
menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.
Melalui amalan sistem syura,
Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku kepada dalam
semua segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya
kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan
dan keadilan Islam, Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu
memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.
Membahagikan Wilayah-Wilayah Islam
Perkembangan Islam yang semakin luas
dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru telah memerlukan kepada
pentadbir bagi menguruskan sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini,
Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada
beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan
beberapa orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik
hendaklah datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk
membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih
pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai contohnya
Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. al-Ash, Mughirah b. Syu’bah dan Zaid b. Sumyah.
Sebelum seorang Gabenor itu
dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan dari
menerima rasuah. Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab
bagi menjamin keadilan dan kesucian Islam.
Memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah
Perluasan kuasa Islam menuntut
kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di
Mesir, Syria, dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik
kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk
membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan
tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya
akan dikenakan cukai.
Tentera atau umat Islam dari negara
lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui
pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan
dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.
Pembaharuan dalam bidang ekonomi
Banyak pembaharuan yang dilakukan
oleh Umar bagi mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut
kehendak Islam. Kadar dan sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan
mengikut jenis tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan
tidak adil akan dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada
golongan-golongan Dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui samada cukai yang
dikenakan membebankan mereka. Inilah langkah yang dilakukan oleh Umar sebelum
pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai menjadi cekap
dan perbendaharan negara bertamba Beliau juga turut memajukan sistem pertanian
dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan, yang mana
ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi hasil
pertanian.
Pembaharuan Dalam Bidang Sosial
Melakukan polisi baru untuk golongan Dhimmi
Khalifah Umar telah mengadakan cukai
tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana
rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar
memanggil 10 orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basyrah supaya
mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan.
Taraf dan hak awam di berikan sama
rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih
menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak
akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang
akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.
Memperbaharui taraf kedudukan hamba
Golongan hamba pada masa itu telah
diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina
dan ditindas, mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecualilah
bagi orang-orang yang benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan
bahawa hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya
seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga tidak boleh
dipisahkan dari keluarga mereka.
Taraf golongan hamba juga disamakan
dengan tuannya dalam apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak
menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh
Khalifah Umar. Sebagai contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang
pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.
Menggalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran
Pelbagai langkah telah dilakukan
oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan
guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke
serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan.
Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di
seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu
didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti
surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan
diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal
kandungan al-Quran.
Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi
Memajukan sistem pertanian
Khalifah Umar telah mewujudkan
terusan bagi memajukan sistem pertanian yang mana terusan tersebut seperti
Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah
sepanjang 69 batu dari bandar Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina
Empangan Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dujlah (Tigres) dengan bandar
Basrah.
Tanah juga telah dikajiselidik bagi
menempatkan tanaman-tanaman yang bermutu. Rakyat juga digalakan untuk membuka
tanah-tanah baru bagi memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak
dikerjakan akan ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di
dalamnya. Begitu juga beliau juga telah mengadakan sistem cukai bagi menambahkan
pendapatan negara.
Wafatnya Saidina Umar
Saidina Umar wafat pada tahun 644 M selepas dibunuh oleh
seorang hamba Majusi Parsi
yang bernama Abu Lu'lu'ah atau Pirouz. Abu Lu'lu'ah
menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam
Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid
al-Nabawi, Madinah.
Saidina Umar meninggal dunia dua
hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam
Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman Affan dilantik menjadi
khalifah selepas kematiannya..