Wahai anakku,
Pada suatu hari, ada seorang lelaki melalui sebuah
kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Dia tetiba
dikejutkan dengan suatu cahaya cukup bersilau terang terpancar dari
sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Pandangan itu sungguh
cantik tapi juga merasa sedikit ketakutan dan berdebar.
Si
lelaki terpegun seketika dan bertanya pada diri apakah kemungkinan kubur
ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa? Apakah ia seorang
waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di
sisi tuhan? Jika tidak, mengapa kuburnya bercahaya? Si lelaki
memberanikan diri dan mengambil sebatang kayu lalu dipacak di atas
kuburan yang bercahaya itu kerana ingin melawat kubur itu keesokan
harinya.
Wahai anakku,
Pada keesokannya, si lelaki itu
datang menyelidik kubur siapakah yang sangat ajaib itu. Dibisik di
hatinya, “Mesti allahyarham ini seorang tuan guru atau waliyullah atau
alim ulamak atau orang soleh yang terkenal…”
Si lelaki
bertanya-tanya kepada orang kampung sekitar dan mendapati kubur itu
adalah milik seorang lelaki tua yang meninggalkan seorang isteri di
sebuah pondok di hujung kampung. Si lelaki tidak berputus asa dan terus
menyelidik dan melawat rumah si mati. Di sana si lelaki terjumpa dengan
isteri si mati dan diceritakannya perkara yang ajaib yang berlaku
semalam.
Wahai anakku,
Mendengar cerita si lelaki, isteri
si mati terasa aneh, terkejut dan kehairanan. Suaminya cuma seorang
petani kecil. Tidak pernah seorang yang kaya, lagi bukan seorang ahli
ibadah mahupun orang soleh. Juga bukan seorang tuan guru atau waliyullah
atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal yang disangka si
lelaki. Malah menurut isteri si mati, suaminya tidak pandai membaca
Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Quran.
Si lelaki cukup hairan dengan penjelasan isteri si mati. Apakah beliau
bermimpi melihat cahaya di kubur itu? Takkanlah orang yang tak baca
Quran boleh bercahaya di kuburnya.
Wahai anakku,
Namun
lelaki itu tetap tidak berputus asa. Si lelaki inginkan mencari jawapan
di sebalik cahaya di kubur itu dan bertanya apakah perkara-perkara aneh
yang si mati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya.
Lalu, isteri si mati menjawab, suaminya akan mengambil wuduk setiap
malam sebelum tidur, dan bersendirian di dalam bilik. Setelah seketika,
isteri si mati baru sedar bahawa setiap malam suaminya selepas mengambil
wuduk akan mengambil al-Quran di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya
dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.
Si isteri si mati
turut berkata suaminya akan duduk dan membelek al-Quran itu sehelai demi
sehelai seperti sedang membaca. Diraba-rabanya ayat-ayat Quran itu di
atas Quran dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai
sesuatu yang sangat dikasihi. Malah kata isteri si mati, dia pernah
dikejutkan tengah malam oleh rintihan dan desakan tangisan suaminya yang
sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.
“Tapi suamiku seorang yang buta al-Quran,” terang isteri si mati.
Wahai anakku,
Mendengar penjelasan isteri si mati, si lelaki bertambah hairan. Lalu
si lelaki bertanya, apakah yang dirintihkan dan dingangiskan si mati.
Isteri si mati menjawab:
“Tuhanku! ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimahMu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”
“Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca
kalimahMu. Aku tidak dapat bersahabat denganMu. Aku tidak dapat
memahamiMu. Tapi aku sangat mengasihiMu. Aku sangat mencintaimu.”
“Wahai Kalam Allah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapan Tuhan di akhirat nanti.”
Malah, kata isteri si mati lagi, kadang-kadang suaminya tidak balik
tidur bersamanya kerana tertidur di dalam bilik itu memeluk al-Quran
dengan penuh erat.
Wahai anakku,
Mendengar penjelasan isteri si mati, si lelaki meminta izin untuk melihat al-Quran yang dimiliki suaminya.
Dibelek al-Quran itu, si lelaki terus bergenang air mata. Melihat
naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan
selalu dibelek berkali-kali cukup mengharukan. Dibisik di hati si
lelaki, “Aku pun tidak sampai begitu membelek al-Quran.”
Si
lelaki tidak dapat menahan air matanya apabila benar melihat ada
bekas-bekas airmata di halaman Quran milik si mati. Benarlah apa yang
diceritakan isteri si mati, suaminya sering menangis berjurai airmatanya
tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.
Di hati si
lelaki, terus tersenyum kerana beliau dah jumpa jawapan mengapa kubur
itu bercahaya. Hati si mati telah bersatu dengan roh al-Quran. Dia
sangat mengasihi kalimah Tuhannya dengan sesungguhnya dan perkara ini
boleh dirasai si lelaki selepas membelek al-Quran milik si mati. Sungguh
mulia si mati ini. Ini bererti ia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa
dan raganya.
Wahai anakku,
Aku sengaja menceritakan ini
kerana bimbang kamu merasai buku Quran teramat berat untuk dibuka. Aku
sangat berharap cerita di atas dapat membuka hatimu, menguatkan jiwamu
dan meringankan tanganmu untuk mengangkat kalimah Allahmu untuk dibaca.
Wahai anakku,
Jangan sesekali kamu terpedaya dengan bisikan syaitan yang membisikkan
perasaan malasmu untuk membaca Al-Quran. Syaitan terkadang menanam
perasaan tidak pandai membaca untuk menjauhkan kamu dari Al-Quran.
Sedangkan engkau membaca dengan mengeja satu-persatu diganjar pahala dua
kali ganda oleh Allah.
Lantaran itu, berusahalah
mempelajarinya. Jangan kamu merasa malu mempelajari Al-Quran, kerana
tiada manusia dilahirkan dalam keadaan alim. Marilah kita bersama-sama
menghidupkan al-Quran di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di
dalam diri kita, sepanjang hayat ini.
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan