Powered By Blogger

Selasa, 31 Disember 2013

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir(1907–1974)

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir(1907–1974)

Saari Sungib | abuurwah@gmail.com |

Latar Belakang

Abu Bakar bin Mohd Said dilahirkan pada tahun 1907 di Gunung Semanggol. Al-Baqir yang bermakna "amat pintar" adalah gelaran yang diberikan oleh gurunya kerana kepintarannya dalam pelajaran sejak kecil lagi.


Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Beliau adalah daripada keturunan Jawa. Datuknya, Haji Abdul Jabar bin Abdul Rauf berhijrah dari Kendal, Jawa Tengah pada pertengahan abad ke-19. Pada mulanya datuknya menetap di Kelang. Kemudian berpindah ke Kuala Kurau, Perak dan akhirnya ke Gunung Semanggol.

Setiap tempat persinggahan datuk neneknya, mereka menjalankan kerja bercucuk-tanam, terutamanya bersawah padi.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di Pondok Da'irat Al-Ma'arif, Kepala Batas, Seberang Perai Utara.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut.

Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Sejak muda, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah bergiat cergas dalam perbagai persatuan separa-politik dan pertubuhan politik Melayu seperti:

· Persatuan Melayu Pulau Pinang

· Persatuan Melayu Perak

· Persatuan Sunligh Taiping

· Kelab Saadat Kuala Kangsar

· Kesatuan Melayu Muda (KMM)

· Angkatan Pemuda Insaf (API)

· Barisan Tani Se-Malaya (BATAS)

· Pembantu Indonesia Merdeka (PIM)

Penglibtannya dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pemimpin PKMM, Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak

Usaha Pembaharuan

Pada akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas pendidikan Islam bernama Kanzal Ma'arif. Berlainan dengan sistem menadah kitab yang diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan sistem perbincangan dan perbahasan bahan-bahan pengajian ilmu pengetahuan.

Tujuan diadakan pendekatan seperti ini adalah untuk melahirkan ahli-ahli dakwah dan mubaligh Islam yang bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Kelas-kelas ini diadakan setiap malam Selasa dan Jumaat setiap minggu. Mereka yang menduduki kelas-kelas ini adalah terdiri daripada mereka yang dipilih sahaja. Usaha ini menghasilkan kejayaan yang menggalakkan.

Pada peringkat ini juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di madrasah-madrasah yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum Muda, beliau lebih cenderung ke arah pendekatan pembaharuan.

Maahad Al-Ehya Al-Sharif

Pada tahun 1934, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama beberapa orang pemimpin tempatan telah menubuhkan Maahad Al-Ehya Al-Sharif di Gunung Semanggol.

Nama Al-Ehya Al-Sharif memberi erti "menghidupkan kemuliaan". Dengan menghidupkan kemulian agama inilah diharapkan akan tercetusnya masyarakat yang memuliakan dunia dan Akhirat di kalangan bangsa Melayu.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dilantik sebagai mudir Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Jawatan ini dipegangnya hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1974.

Usaha pembaharuan ini diteruskan pada tahun 1940 dengan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menubuhkan Persatuan El-Ehya Al-Sharif (Berhad). Persatuan ini berperanan sebagai badan yang mengurus dan melaksanakan hal-ehwal sekolah. Sebuah Lembaga Pengurus yang bertindak secara kolektif telah diwujudkan.

Meluaskan Pembaharuan

Kelahiran Al-Ehya pada tahun 1934 adalah seiring dengan matangnya fahaman Islah di kalangan umat Islam di Tanah Melayu. Pergerakan Islah atau Kaum Muda yang dipopularkan pada awal abad itu telah banyak mempengaruhi pelajar-pelajar madrasah.

Kemahuan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk mendirikan Al-Ehya bertambah kuat apabila masih kurang madrasah yang menekankan pendidikan dunia dan Akhirat di Kawasan Kerian, Perak. Untuk tujuan tersebut, beliau melepaskan jawatannya di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendirikan Al-Ehya di Gunung Semanggul kerana berpandangan tidak sesuai baginya untuk memajukan bangsa jika terikat dengan iklim istana. Lagipun, para ulamak di Idrisiah amat condong kepada kemahuan status quo golongan tradisional aristokrat diraja.

Dalam perkembangan inilah Al-Ehya menerima guru-guru dari Timur Tengah dan Indonesia yang berfahaman Islah dan Reformasi Islam sebagai tenaga pendidiknya.

Guru-gurui dari Indonesia ini terdiri daripada aktivis pergerakan Muhammadiah yang terkenal sebagai Kuam Muda di Indonesia.

Sejak itu, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjadikan Maahad El-Ehya Al-Sharif sebagai pusat gerakan sosiopolitik, sosioekonomi dan kegiatan politik berparti berdasarkan Islam dari tahun 1934 hingga Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.

Pembaharuan melalui Ekonomi

Pada tahun 1947, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mempengerusiakn satu jawatankuasa perhimpunan besar yang dinamakan Persidangan Ekonomi-Agama se Malaya. Persidangan ini diadakan di Maahad Al-Ehya Al-Sharif.

Tujuan persidangan tersebut dinyatakan sebagai untuk "berusaha meluaskan penyiaran agama dan berusaha mempertinggikan ekonomi bangsa dan negara yang sudah hampir lenyap ke tangan asing".

Persidangan tersebut dihadiri oleh 2,000 orang alim ulamak dan cerdik pandai dari seluruh Tanah Melayu yang berkelulusan dari sekolah-sekolah tinggi Mesir, Arab Saudi, India dan Indonesia. Wakil-wakil dari Singapura juga turut hadir.

Persidangan tersebut berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu seMalaya atau ringkasnya PEPERMAS. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih sebagai Yang Di Pertua (YDP) bagi PEPERMAS.

Sejurus penubuhannya, PEPERMAS telah menyusun kerja-kerja ekonomi, melantik badan-badan ekonomi serta menggariskan kerja-kerja derma pelajaran bagi pelajar-pelajar di madrasah-madrasah seluruh Tanah Melayu.

Pembaharuan dalam Pentadbiran Agama

Majlis Agama Tinggi atau MATA juga ditubuhkan pada tahun 1947, iaitu sehari selepas PEPERMAS. MATA juga ditubuhkan di Al-Ehya Al-Sharif, Gunung Semanggol.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan.

MATA ditubuhkan dengan tujuan untuk membetulkan pengurusan dan pentadbiran hal-ehwal agama Islam yang ditadbir oleh ulamak tradisional dan raja Melayu.

MATA adalah satu tamparan yang hebat kepada golongan yang bekerja dalam pertubuhan ulamak negeri dan pejabat agama negeri-negeri. Ini kerana MATA bertujuan menjadi badan agung untuk mengelolakan soal agama. MATA juga secara langsung berhasrat menggantikan badan-badan agama yang telah wujud di setiap negeri.

Pembaharuan melalui Pendidikan

Pada tahun 1947 juga, sebuah badan yang dinamakan LEPIR atau Lembaga Pendidikan Rakyat telah ditubuhkan. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi pengerusi LEPIR.

LEPIR adalah hasil usaha daripada Jawatankuasa badan Kebajikan Pelajaran MATA yang telah mengadakan pemerhatian di seruh Tanah Melayu dan Singapura perihal kurangnya umat Melayu-Islam dalam bidang pendidikan.

Melalui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah diberi tanggungjawab untuk memajukan sekolah agama di seluruh Tanah Melayu.

Melalui LEPIR juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah menggabungkan semua sekolah rakyat di Tanah Melayu, melahirkan satu sistem persekolahan serta membentuk satu sukatan pelajaran yang seragam bagi semua sekolah rakyat.

LEPIR di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah mengusahakan penerbitan buku pelajaran agama dan bahasa Arab bagi seluruh Tanah Melayu.

Dengan menerajui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjuruskan usaha ke arah penubuhan sebuah universiti Islam dengan menubuhkan sebuah tabung mengumpul dana daripada rakyat.

Isnin, 30 Disember 2013

7 contoh isteri yang sering diceraikan



7 contoh isteri yang sering diceraikan

Di dunia ini ada pelbagai jenis wanita. Isteri yang baik atau wanita solehah, adalah harta simpanan yang terbaik bagi seorang suami.

Rasulullah Shallallahu' alaihi Wasallam bersabda, " Mahukah kamu keberitahu suatu harta simpanan (perhiasan) yang sangat baik? Iaitu wanita solehah, yang apabila kamu melihatnya, ia menyeronokkan. Apabila kamu perintah, dia patuh. Dan apabila ditinggal pergi, dia selalu menjaga diri dan harta suaminya. " (Riwayat Abu Dawud)

Kalau dilihat dia menyenangkan, itu disebabkan budi yang luhur, pakaian bersih, dandanan yang serasi di hadapan suaminya dan berusaha yang terbaik untuk tampil menarik hanya di depan suami dan anak-anaknya.

Jika diperintahkan, dia akan patuh, menunjukkan ketaatan dan baktinya pada suaminya. Dia ingin selalu memberikan kepuasan bagi suaminya.

Sentiasa memelihara diri dan harta suaminya, menggambarkan betapa besar kekuatan agama dan ketebalan imannya terhadap ALLAH dan Rasul-Nya. Apabila suaminya tidak ada, dia tetap memelihara kehormatan diri dan harta suaminya.

Bila seorang wanita tidak solehah dan mempunyai sifat atau kebiasaan yang buruk, suka menyusahkan suaminya tentulah itu bukan perhiasan bagi seorang suami. Bahkan, boleh jadi suami tidak suka bersamanya, kemudian menceritakannya.

Jika engkau, wahai isteri menginginkan rumah tangga yang bahagia di dunia dan akhirat, buanglah jauh-jauh dari dirimu tujuh sifat tersebut. Bila tidak, engkau celaka di dunia dan akhirat .

Berikut ini tujuh jenis wanita yang sering diceraikan suami.

1. Tidak punya rasa malu . Yang tidak malu melakukan hal-hal yang dilarang ALLAH. Dia jauh dari sifat takwa dan banyak melakukan maksiat.

2. Ausyarah (kotor) iaitu tidak pandai mengatur rumah, malas mengemas diri, dan malas melakukan apa-apa sehingga dirinya, anak-anak dan rumahnya kotor dan tidak menyenangkan.

3. Asysyakasah (berani/mencabar) iaitu suka membebankan suaminya di luar kemampuannya sehingga mendorong suami melakukan hal hal yang dimurkai ALLAH.

4. Innah (berani/mencabar) yang tidak mahu diperintah suaminya untuk melakukan hal-hal yang baik. Berani melanggar apa yang diperintahkan, bahkan menentang si suami dengan tetap melakukan maksiat.

5. Bitnah (mementingkan isi perut dan banyak menuntut) yang tidak suka berinfak dan enggan mengeluarkan zakat. Selalu terkumpul harta kekayaan dan mengenyangkan perut dengan makanan-makanan yang tiada habisnya. Tidak terlintas dibenaknya untuk menyumbangkan kepada fakir miskin dan anak yatim. Untuk memenuhi segala keinginan nafsunya, dia mendorong suaminya untuk melakukan hal-hal yang boleh mendatangkan kemurkaan ALLAH.

6. Bahriyah (mendorong suami untuk berbuat jahat) iaitu selalu menghalang suami untuk berbuat baik. Jika melihat suami menyisihkan beberapa peratus dan pendapatan untuk zakat dan infak, dia sibuk mencerca dan mengadu pada suami tentang keadaan ekonomi rumah tangga, keperluan anak yang semakin membesar, pakaian yang telah koyak, kasut yang telah usang dan sebagainya sehingga suami menjadi ragu- ragu.

7. Tidak aktif iaitu malas berbuat apa-apa. Tidak mempunyai keinginan untuk menambah ilmu duniawi maupun ukhrawi .


Sumber : Majalah Fatwa Jilid IV No 12 I Zulhijjah 1429 H

*Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com
 via Sinar Harian | 30 Dis 2013

Ahad, 29 Disember 2013

AKU SIFUYUS

Kisah Pakcik Jual Laksa Beras

Suatu hari sedang saya membersihkan halaman, lalu seorang penjual laksa beras, menaiki motorsikal mengelilingi kampung. Oleh kerana matahari telah makin merendah selepas asar, saya pun berhenti rehat. Apabila nampak penjual laksa beras lalu, saya pun memanggil untuk merasa laksa berasnya. Baru kira-kira satu bulan saya dan keluarga berpindah ke kampung ini, bertugas sebagai inspektor menjaga parit dan saliran.

Saya melaung bertanya kepada isteri dan anak-anak, adakah mereka juga turut ingin makan laksa beras. Isteri dan anak-anak 4 orang juga inginkan laksa beras. Bermakna saya pesan 6 pinggan laksa beras. Dengan menggunakan ukuran mangkuk standardnya laksa dihidang dalam mangkuknya dahulu sebelum dituang ke pinggan yang pelanggan sediakan.

Zaman ini, kebanyakan penjual laksa beras bermotorsikal tidak perlu bawa banyak mangkuk atau plastik bungkus. Cukup sebuah mangkuk yang dibawanya untuk jadi ukuran yang sama setiap pinggan yang dipesan pelanggan. Semua yang membeli laksa beras perlu membawa pinggan atau mangkuk sendiri ke motor pakcik jual laksa itu berhenti.

Setelah membeli laksa beras, pelanggan akan makan di dalam rumah masing-masing bersama keluarga. Cara ini telah menyelamatkan alam sekitar, tidak ada pelupusan bahan plastik atau pembaziran bekas.

Setelah membayar harga bagi 6 pinggan laksa beras, saya melihat penjual itu membahagikan duit yang saya bayar kepada 3 tempat. Duit itu di bahagi 3, 1/3 ke dalam dompet, 1/3 ke dalam laci duit dan 1/3 ke dalam bekas seperti tabung.
Melihat keadaan itu, menjadikan saya teruja ingin tahu kenapa duit-duit itu diasingkan. Maka terus saya bertanya, “Pak cik kenapa pakcik asing-asingkan duit tersebut?”

Pakcik itu pun menjawab, "Duit yang masuk dompet digunakan untuk perbelanjaan perniagaan dan keluarga, duit yang masuk tabung untuk simpanan penyempurnaan agama dan duit yang masuk laci untuk infak.

Dalam setiap rezeki yang kita perolehi, ada hak orang lain juga. Walaupun sikit, kita wajar berbagi sama. Saya menggilirkan wang itu antara beberapa surau dan masjid. Atau untuk rumah anak yatim juga. Selama lebih 20 tahun saya berniaga laksa beras, dari berbasikal, sekarang sudah bermotorsikal, setiap tahun saya dapat melaksanakan ibadah korban walaupun cuma 1 ekor kambing yang sederhana besar. Alhamdullilah, saranan agama, walaupun sunat, ia dapat dilakukan. Setiap hari saya mula berniaga dari pukul 11.00 pagi. Apabila tiba di mana-mana kampung, menjelang waktu solat sama ada zohor atau asar, saya akan berhenti untuk solat berjemaah di mana-mana surau kampung berkenaan. Saya tidak akan lupa memasukkan sedikit hasil jualan laksa beras ini walaupun sedikit.

Walaupun cuma menjual laksa beras, saya tetap dapat mengerjakan solat di awal waktu secara berjemaah. Dapat menginfak wang hasil jualan laksa beras untuk dikongsi dengan orang lain. Saya suka berniaga mengelilingi kampung dan berhenti solat di mana-mana surau atau masjid yang ditemui menjelang waktu solat. Saya pernah dengar tuan guru kata, nanti di mahkamah akhirat, bumi dan hari akan menjadi saksi. Maka nanti bumi akan berkata, si polan pernah solat di sini, di sini, di sini. Hari Isnin sipolan solat di masjid ini, hari Selasa kata si polan solat di surau ini.Dan seterusnya. Saya tidak kaya, tidak punya harta yang banyak untuk melaksanakan zakat atau wakaf, namun saya tetap bersedekah ikut rezeki yang Allah berikan kepada saya setiap hari.

Duit dalam tabung pula sebagai simpanan untuk menyempurnakan rukun Islam. Islam terdiri dari 5 rukun, mengerjakan haji adalah rukun ke 5. Adakah solat itu sempurna jika rukunnya tidak sempurna? Saya merasakan islam saya tidak akan sempurna jika rukunnya saya tidak sempurnakan. Oleh itu saya mahu berusaha menyempurnakan rukun Islam ke 5 iaiatu mengerjakan haji. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin saya dapat mengerjakan haji kerana ia memerlukan biaya yang besar."

Terpegun saya dengan jawapan yang diberikan oleh seorang penjual laksa beras ini. Seorang penjual laksa beras, mempunyai misi dan visi yang jelas sebagai seorang islam.

“Pakcik, bukankah mengerjakan haji bagi yang mampu saja, jika tidak mampu kita tidak dituntut untuk mengerjakannya.”

“Bagaimana boleh mampu jika kita tidak usaha menuju ke arah mampu. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin akan mampu mengerjakan haji suatu hari nanti? Mampu itu kita sendiri yang tentukan. Adakah selamanya kamu mahu hidup miskin jika kamu tidak usaha menjadi kaya dengan menabung sedikit-sedikit mengumpul modal bagi meluaskan perniagaan?”

MasyaAllah, begitu jelas sekali fikirannya tentang maksud mampu. Tersentap hingga hujung hati bila membanding diri ini dengan pakcik yang hanya menjual laksa beras bermotosikal menggelilingi kampung. Muka saya bagai ditampar-tampar kerana berilmu tetapi tidak beramal.

Siapa yang sangka dan ambil peduli akan kejernihan fikiran pakcik dalam melaksanakan syariat agama Islam ini.

Kisah ini saya abadikan bagi mengingatkan keenakan laksa beras yang selalu saya beli dari seorang penjual laksa beras yang bermotosikal mengelilingi kampung. Tidak pasti adakah pakcik ini masih hidup atau telah meninggal dunia. Laksa berasnya memang enak.
Sama-samalah kita mengambil iktibar darinya untuk kebaikan diri kita sendiri.


TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Rabu, 22 Mei 2013

Nasi Goreng Bekas Axion

Ini bukan cerita pasal axion boleh membersih dakwat kekal. Bukan nak berkempen pasal sabun pencuci pinggan mangkuk... tapi kisah yang cukup menyedihkan.

Kisah ini diceritakan oleh seorang ibu melalui facebook untuk dikongsikan bersama... Begini kisahnya..waktu rehat di sekolah anak saya akan makan bekal yang dibawa dari rumah, makan bersama-sama kawannya Amira (bukan nama sebenar) di kantin sekolah. Anak saya selalunya akan bawa nasi goreng dan Amira selalunya bawak roti kosong 2 keping yang dibungkus dalam plastik. Roti itu dia akan cicah dengan air sirap yang dia bawa dari rumah.

Itulah rutin bekalan harian yang di bawa oleh Amira setiap hari. Anak saya pun selalunya memang bawa nasi goreng ler coz itu memang pemberet dia.. Amira memang suka sangat makan nasi goreng tu dan anak saya tak kisah untuk berkongsi nasi tu..dia memang hari-hari bagi Amira makan nasi goreng tu..Mungkin Amira dah jemu agaknya coz hari2 bawak roti kosong jer cicah air sirap...

Suatu hari..anak saya bersuara kepada Amira..Mira..aku teringin nak makan nasi goreng ko..ko asyik bawak roti jer..apa kata esok kita bawak nasi goreng sama-sama nak.. Nanti kita makan tukar-tukar kat kantin..

Amira termenung.. nampak muka dia macam tak sedap.. Alahh..tak nak lah..nasi goreng aku tak sedap lah..ko mesti tak nak makan nanti..Alahhh..ko bawak jer..ko belum bawak, ko dah kata nasi goreng ko tak sedap..ko bawak je lah..mesti sedap punya..

Ok lah..ko punya pasal..esok aku bawak ya..aku bawak nasi goreng special utk ko..Yeeaaahhh..anak saya suka sangat coz Amira setuju nak bawak nasi goreng esok..

Sampai di rumah.. malam hari sebelum tidor.. Amira cakap kat mak dia yang esok dia nak bawak bekal nasi goreng..dia tak mahu bawak roti kosong 2 keping tu.. Makkk..boleh tak esok Mira nak bawak bekal nasi goreng..?? Mak Mira terkejut..apa sayang..?? Esok Mira nak bawak nasi goreng..? Kenapa? Esok Mira ada jamuan ker..??

Nasi goreng apa yang mak nak buat? Tak ada rencah untuk mak buat nasi goreng esok..Mira bawak roti je lah..Alahh..mak..boleh lah..tak payah bubuh rencah pun tak apa..mak taruk telur je pun dah ok..

Ya lah..baik lah..esok mak buat nasi goreng untuk Mira ya..telur pun tinggal sebijik jer tau..dah malam-malam buta ni mana nak carik telur..bawang pun dah habis tu..tak per lah..mana yang ada je lah..

Keesokkannya dalam dalam kelas..anak saya tanya Mira..Mira ko bawak nasik goreng tak..? Aku bawak ni..Mira senyum..

Ko bawak tak Mira..? Bawak ler...aku bawak..kan semalam dah janji..

Ok..cayalah..tak sabar nak makan nasi goreng ko Mira oiii..

Kul 10.00 pagi loceng rehat bunyi..mereka berdua berlari ke kantin..nak tukar-tukar nasi goreng..
Sampai di kantin..Mira ko nak air tak? Hari ni aku belanja ko air..ko nak air apa? Aku belikan..

Alah..tak kisah..air apa-apa pun tak apa..aku minum jer..

Alahhh..Mira..kenapa ko tak buka bekal lagi ni..ko duk diam jer kat situ apasal? ya lah..aku tunggu ko datang bawak air ler..kita buka bekal sama-sama..

ooo..ya ker..jom jom kita buka bekal..

Amira pun keluarkan 'bekas' nasi goreng dia dari dalam beg plastik.. Mata anak saya tidak berkelip..

Amira mana nasi goreng ko? Ko bawa apa ni..? Ni lah nasi goreng aku..ko buka je lah..

Tuan/Puan nak tau..? Nasi Goreng tu diletakkan dalam bekas sabun Axion pencuci pinggan cap Lemon..warna kuning bekas tu..

Amira..kenapa ko letak nasi goreng dalam bekas Axion ni..? Mak ko tak marah ker..? Tak rasa sabun ke nanti..?

Tak lah..mak yang bubuh dalam bekas tu..kat rumah aku mana ada tupperware macam ko..memang kami pakai balik bekas sabun tu...standard lah..kami memang dah biasa macam ni..

Air mata anak saya mula bergenang..tunggu masa untuk tumpah..

Mira..kenapa ko tak cakap yang ko tak der bekas untuk bawak nasi ni..aku boleh bagi ko bekas..kenapa ko tak cerita dengan aku Mira..ko ni kan..

Mira tunduk..tolong jangan nangis boleh tak..? Semalam ko yang cakap ko nak makan sangat nasi goreng aku kan? Sekarang aku dah bawak apasal ko nangis plak..?? Makan je lah..

Mira..aku rasa bersalah sangat coz menyusahkan ko..tak pe lah Mira jom kita makan..ko makan nasik goreng aku ya..aku nak rasa nasi goreng ko..

Ehhh..tak per..tak per..ko makan jer nasik goreng ko..nasi goreng aku tak sedap..bubuh dalam bekas sabun plak tu..

Mira..jgn ckp mcm tu..bak sini aku rasa nasi goreng ko..ya..lah..rasa sesudu jer..kompom tak sedap tu..

Anak saya pun makan rasa sesudu..memang betul pun..tak sedap..nasi goreng Amira putih meleset..tak der rencah..tak der rasa pun..tawar jer..tapi anak saya tak kisah..dia tak komplen pun..

Cuma masa Mira suap nasi goreng tu..air mata dia plak berlinang..anak saya tanya knp ko nangis..dia cakap tak ada aper..tak per lah..kita makan je lah..

Semasa anak saya cerita kisah ini kepada saya..saya menangis..tapi saya tidak menagis semasa itu..saya tidak mahu menangis di depan anak saya..Saya kuatkan semangat untuk mendengar cerita dia sampai habis..

Selesai anak saya bercerita..saya cakap kat anak saya..esok bawak bekas tupperware kat dapur tu..bagi kat Amira ya..cakap kat Amira bekas ni hadiah dari keluarga kita..

Then saya bangun terus keluar tengok-tengok kereta..sebenarnya bukan saya tengok kereta..saya menangis semahunya kat tepi keta tu..tak sangka sangat..di zaman moden ni..masih ada lagi anak-anak kita yang hidup menderita..sedih dan sayu hati ni..

Kepada orang kaya di luar sana..ingatlah..dalam kemewahan yang kamu kecapi sekarang ni..ada saudara kita yang hidup dalam keadaan memilukan..

Saya berdoa kepada Allah..agar semua orang yang tidak berkemampuan ini di murahkan rezeki oleh Allah dan ditabahkan hati mereka dalam menghadapi segala dugaan..Aminnn..

Semoga kisah ini boleh celik kan mata kita..

Terima kasih..

Khamis, 17 Januari 2013

15 Kesilapan Ibu Bapa dalam Mendidik Anak



15 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak
"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar." (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : "Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia." - (Maksud Al-Hadith )

1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38) Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)

1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128) Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74) Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti: menakutkan anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak, tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas. Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

Sumber: diubahsuai dari Kuliah Mingguan Surau An-Nur, 10 Jun 1998 oleh Ustaz Khalid Haji Mohd Isa.